Amaran letusan gunung berapi La Cumbre dikeluarkan

 

MADRID: Pakar sedang memantau sebuah gunung berapi di Kepulauan Canary, Sepanyol, yang kali terakhir meletus 50 tahun lalu, susulan peningkatan gegaran dan pergerakan lahar.

Institut vulkanologi, Involcan, berkata beberapa 'gugusan gegaran' di bawah gunung berapi La Cumbre Vieja di pulau La Palma bermula Sabtu lalu dan sejak itu hampir 1,000 gegaran dengan yang paling kuat berukuran 3.4 pada skala Ritcher dikesan.

"Gugusan gegaran adalah siri pergerakan seismik di satu kawasan tertentu dalam tempoh yang singkat.

"Kita tidak boleh menolak kemungkinan berlaku peningkatan kegiatan seismik dalam tempoh beberapa hari akan datang," katanya.

Pejabat kerajaan Sepanyol di kepulauan Atlantik berkata keadaan mungkin pantas berubah dalam tempoh singkat tetapi setakat ini belum ada bukti kukuh menunjukkan letusan akan berlaku ketika ini.

Cumbre Vieja adalah gunung berapi aktif di Selatan La Palma dan sudah dua kali meletus pada abad ke-20, pertama pada 1949 dan kemudian pada 1971.

Selasa lalu, pihak berkuasa menukar amaran dari hijau ke kuning di beberapa lokasi di kawasan sekeliling gunung berapi itu, bermakna pihak keselamatan awam perlu memberitahu orang ramai berwaspada terhadap letusan gunung berapi.

Gambar fail menunjukkan letusan gunung berapi La Cumbre yang berlaku sebelum ini. - Foto AGENSI

Involcan berkata kesemua gempa itu berlaku pada tahap yang cetek dan berlaku perubahan ketara pada permukaan tanah susulan sedikit aliran lahar ke takungan di bawah gunung berapi, yang berjumlah 11 juta meter padu.

"Tidak diragui kegiatan seismik ini adalah perubahan yang ketara dalam aktiviti gunung berapi Cumbre Vieja dan berkait dengan proses pencerobohan lahar di bawah pulau La Palma," katanya. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/09/865030/amaran-letusan-gunung-berapi-la-cumbre-dikeluarkan

 



 

Comments