WASHINGTON: Wei Jingshen, warga China yang dilabel ‘pengkhianat’ dan ‘pembelot’ oleh China dan mendakwa pernah memberi amaran kepada pegawai tertinggi Amerika Syarikat (AS) mengenai penemuan virus baharu di Wuhan, tampil dengan pendedahan baharu.
Kali ini beliau mendakwa, China sengaja menyebarkan virus Covid-19 semasa Kejohanan Sukan Tentera Dunia, dua bulan sebelum dunia menjadi kecoh dengan wabak berbahaya itu.
Kejohanan itu berlangsung di Wuhan, China pada Oktober 2019 dan merupakan yang pertama kali dianjurkan melibatkan anggota tentera dari 109 negara.
Jingshen yang juga bekas anggota Parti Komunis China mendedahkan, kejohanan antarabangsa bagi atlet tentera itu berperanan sebagai lokasi penyebaran virus superspreader iaitu dua bulan sebelum China memaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kes pertama Covid-19.
Malah beliau mendakwa, bukan satu kebetulan apabila seramai 9,000 atlet antarabangsa yang berkumpul semasa acara itu dilaporkan ditimpa penyakit misteri.
“Saya fikir Kerajaan China mengambil peluang tersebut untuk menyebarkan virus semasa Sukan Tentera kerana ramai warga asing berada di sana.
“Saya tahu mengenai kemungkinan Kerajaan China menggunakan beberapa senjata pelik termasuk senjata biologi kerana mereka menjalankan eksperimen tersebut,” dakwanya semasa ditemu ramah dalam dokumentari Sky News.
Beliau melahirkan kebimbangan mengenai situasi tersebut dengan memaklumkan kepada pegawai kanan semasa pentadbiran Donald Trump, November 2019, namun tidak dihiraukan langsung.
Jingsheng yang merupakan pejuang demokrasi dan pernah dipenjarakan kerana aktiviti revolusi berkata, dia mengambil pendekatan itu ketika maklumat ‘virus SARS baharu’ mula beredar dalam WeChat serta platform media sosial China lain.
“Saya rasa mereka tidak prihatin, jadi saya berusaha sehabis baik untuk menyalurkan lebih banyak maklumat dan perincian.
“Mereka mungkin tidak percaya kerajaan sesebuah negara akan menyebarkan virus, jadi saya berusaha meyakinkan mereka,” jelasnya.
Dakwaan lelaki itu turut disokong oleh bekas Penasihat Utama China ke Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Miles Yu.
Katanya, atlet Perancis, Jerman dan AS merupakan antara atlet yang jatuh sakit semasa kejohanan dengan mengalami simptom seperti Covid-19, namun tidak pernah menjalani ujian virus tersebut.
Bekas Penyiasat Covid-19 Jabatan Negara AS, David Asher turut melihat beberapa petunjuk dalam data mengenai kemungkinan wabak itu merebak di AS seawal Disember atau lebih awal daripada itu.
SEMBUNYI FAKTA
Ketika pandemik Covid-19 semakin merebak di China dua tahun lalu, kerajaan negara itu tetap berusaha menyembunyikannya daripada pengetahuan WHO.
Sehingga 31 Disember 2019, wabak itu tidak mampu disorokkan lagi mengenai kewujudannya yang mengancam nyawa manusia.
Namun begitu, Beijing tetap menafikan virus itu boleh berjangkit dari manusia ke manusia lain sehingga perkara itu terbongkar akhir Januari, tahun lalu.
Beijing membuat pengumuman mengenai pemulihan daripada wabak lebih awal sebagai tanda kemenangan buat pemimpin negara itu dengan ekonomi China satu-satunya yang berkembang tahun lalu.
Namun di sebalik semua itu, terdapat banyak laporan yang mendedahkan bagaimana China menyembunyikan perincian utama mengenai virus semasa peringkat awal penularan.
DIPAKSA MAKLUMAT PALSU
Terdahulu, menurut apa yang dilaporkan sebelum ini, doktor di China termasuk Li Wenliang, mula melaporkan adanya jenis jangkitan pernafasan baharu yang serupa dengan SARS pada awal Disember 2019.
Namun bagi mengelak perkara itu mendapat perhatian umum, polis didakwa menahan Wenliang dan lapan yang lain kerana menyiarkan laporan virus itu.
Wenliang, yang kemudiannya meninggal dunia akibat virus itu, terpaksa menandatangani dokumen yang mengakui maklumat yang diterbitkannya adalah palsu.
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/09/china-sengaja-sebar-covid-19-semasa-sukan-tentera-dunia/
Comments
Post a Comment