'Jangan resah dengan dos penggalak vaksin'

 

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dinasihati tidak resah atau bimbang dengan suntikan dos ketiga vaksin COVID-19 atau dos penggalak, memandangkan program imunisasi penyakit berjangkit sedia ada memerlukan lebih dari dua dos, bertujuan memberi perlindungan kesihatan tertinggi.

Sesetengah penyakit seperti measles (demam campak), rubella, beguk (mumps), DPT (penyakit difteri, pertusis, dan tetanus) serta polio, memerlukan suntikan ketiga hingga keempat.

Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata program vaksinasi kanak-kanak yang dijalankan kerajaan sudah memperlihatkan kebaikan untuk rakyat, khususnya perlindungan terhadap kesihatan kanak-kanak.

Katanya, orang dewasa seharusnya menjadi contoh yang lebih baik memandangkan program vaksinasi yang dijalankan kerajaan sebelum ini juga bertujuan untuk menjaga kesihatan rakyat.

"Rakyat kena sedar program imunisasi sedia ada juga memerlukan lebih daripada dua dos. Imunisasi measles, rubella, mumps, DPT, polio serta beberapa lagi penyakit berjangkit me memerlukan lebih daripada dua dos.

"Malah ada sesetengah program vaksinasi sehingga empat dos suntikan vaksin diperlukan," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, BH melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata kementeriannya sedia memulakan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 kepada orang awam, mulai awal bulan depan.

Kata Khairy, kumpulan rentan atau golongan berisiko tinggi yang dikenal pasti KKM akan diberi keutamaan menerima suntikan dos berkenaan.

Dr Yahya berkata, dos penggalak patut diutamakan kepada golongan yang berkeperluan seperti golongan 'immune-compromised' dan 'immune-deficient'.

"Selain itu mereka yang mempunyai komobodoti dan golongan berusia (60 tahun ke atas) juga antara golongan yang patut diutamakan kerajaan dalam tujuan ini.

"Dos penggalak ini adalah untuk memastikan kita sentiasa mendapat perlindungan yang terbaik dan tertinggi," katanya.

Mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak, Dr Yahya berkata, dos penggalak boleh dilakukan secara homologous (vaksin jenis sama) atau haterologous (vaksin jenis berbeza).

"Kita boleh melihat data dari negara lain yang sudah melaksanakan dos penggalak dan kesesuaian untuk melaksanakan program yang sama di negara kita.

"Beberapa kajian sudah menunjukkan penerima vaksin Sinovac dengan dos penggalak Astrazeneca juga memberikan perlindungan yang tinggi. Begitu juga penerima vaksin Sinovac dengan penggalak vaksin Cansino," katanya.

Ditanya mengenai keperluan suntikan dos penggalak ketiga untuk dijadikan indikasi peralihan ke endemik negara,

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn (SMK DTHO), Kem Kementah, menerima dos suntikan vaksin pada Program Vaksinasi COVID-19 “Back To School” bagi pelajar berumur 12 hingga 17 tahun kerjasama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Malaysia

Dr Yahya bagaimanapun tidak sependapat kerana vaksin sedia ada sudah mampu memberikan perlindungan.

"Sememangnya ada sedikit penurunan antibodi tetapi tidak sehingga tiada langsung perlindungan malah perlindungan imuniti masih ada.

"Dos penggalak adalah untuk memastikan kita sentiasa mendapat perlindungan yang terbaik dan tertinggi apabila berdepan virus baharu yang masih belum difahami sepenuhnya. Persediaan kepada segala kemungkinan adalah yang terbaik," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/866349/jangan-resah-dengan-dos-penggalak-vaksin

 

 

Comments