PARIS: Saintis menemui satu lagi pembayang mengenai asal usul virus yang menyebabkan COVID-19, di mana kelawar yang tinggal di gua di Laos dipercayai membawa patogen sama.
Pakar mendakwa ia berupaya menjangkiti manusia secara langsung.
Penyelidik dari Pasteur Institute di Perancis dan National University of Laos berkata, hasil kajian mereka mendapati virus yang secara genetik hampir sama dengan SARS-CoV-2 'wujud di alam semula jadi' dalam kalangan spesis kelawar yang hidup di gua batu kapur di utara Laos, yang terletak berhampiran China.
Daripada virus yang dikenal pasti daripada sampel ratusan kelawar yang diuji di Vientiane, tiga yang ditemukan menyerupai virus yang menyebabkan COVID-19, terutama dalam mekanisme penyambungan pada sel manusia.
"Idea utamanya adalah untuk mengenal pasti asal usul pandemik ini," kata Marc Eloit yang mengetuai makmal patogen Pasteur Institute.
Eloit, yang mana pasukannya menganalisis sampel yang diperoleh berkata, terdapat perbezaan ketara antara virus yang dijumpai dengan SARS-CoV-2.
Namun katanya, kerja yang dijalankan menjadi 'satu langkah ke depan' dalam mengenal pasti asal usul COVID-19, mengesahkan teori bahawa coronavirus yang merebak ke serata dunia mungkin bermula daripada kelawar hidup.
Penulis kajian berkenaan yang sudah menghantar hasil penyelidikan ke Nature untuk penilaian rakan setara memberi amaran bahawa virus baru itu 'mempunyai potensi sama untuk menjangkiti manusia sebagaimana strain SARS-CoV-2'.
"Mereka yang bekerja di gua atau komuniti agama yang sering berada di gua atau berada berhampiran gua, termasuk pelancong yang mengunjungi gua adalah antara yang berisiko terdedah kepada virus berkenaan," katanya. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/09/867477/kelawar-dengan-virus-seperti-covid-19-ditemui-di-laos
Comments
Post a Comment