LOS LLANOS DE ARIDANE: Lahar gunung berapi yang mengalir menuruni cerun di pulau La Palma, Sepanyol, memusnahkan 320 bangunan dan lebih 154 hektar tanah.
Nilai kemusnahan harta benda itu adalah dua kali ganda berbanding anggaran badan pemantau gunung berapi Eropah, Copernicus, dalam tempoh 24 jam sebelumnya.
Copernicus menggunakan imej radar udara bagi memantau keluasan muntahan lava dan memaklumkan perkembangan terkini menerusi Twitter.
Gunung berapi Cumbre Vieja yang meletus Ahad lalu, merentangi rabung di selatan La Palma, satu daripada tujuh pulau yang membentuk Kepulauan Canary yang terletak berhampiran pesisir Maghribi.
Seorang pakar daripada institut kajian gunung berapi Involcan, David Calvo, menjangkakan skala kerosakan akan meningkat dalam tempoh beberapa jam akan datang, berikutan lahar yang bergerak perlahan, menuju ke pesisir barat pulau itu.
"Dalam tempoh beberapa jam lalu, pergerakan lahar semakin perlahan, ia kini bergerak sekitar 300 meter sejam, mungkin lebih perlahan, kerana ia menghampiri kawasan mendatar, namun ketinggiannya makin bertambah.
"Ada beberapa kawasan tertentu yang sudah mencatat ketebalan lahar setinggi 15 meter," katanya kepada AFPTV.\
Katanya, jika lava itu yang bersuhu 1,100 darjah Celsius terus bergerak dengan kelajuan yang sama, ia akan tiba ke laut hari ini atau esok, yang mungkin mencetus letupan.
"Akan terdapat pertembungan yang besar antara air dan lava. Dengan perbezaan suhu yang ketara, ia akan menyebabkan letupan besar dan serpihan lava akan meledak seperti misil," katanya.
Letusan gunung berapi di pulau itu yang didiami kira-kira 85,000 individu, adalah yang pertama dalam tempoh 50 tahun, dan memaksa sekitar 6,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing, namun belum ada dilaporkan cedera setakat ini.
Involcan percaya letusan La Cumbre Vieja boleh berterusan antara 24 hingga 84 hari. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/09/867499/lahar-gunung-berapi-musnahkan-320-bangunan-di-sepanyol
Comments
Post a Comment