SYDNEY: Polis di bandar Melbourne, di sini, bersiap sedia untuk menghadapi tunjuk perasan anti sekatan COVID-19 hari ini, selepas lebih 200 orang ditahan pada hari sebelumnya ketika kes jangkitan di Victoria semakin meningkat.
Beratus-ratus penunjuk perasaan turun ke jalan di kota mempunyai kira-kira lima juta penduduk, sejak pihak berkuasa memerintahkan penutupan tapak bangunan selama dua minggu dengan suntikan vaksin diwajibkan ke atas pekerja binaan bagi mengekang penularan virus itu.
Polis menggunakan semburan lada dan baton semalam, untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang berkumpul di sebuah tugu peringatan perang.
"Ia (tunjuk perasaan) tidak menghormati rakyat Australia yang sebelum ini berkorban untuk negara dan semua mereka yang terbabit harus malu dengan tingkah laku mereka," kata Perdana Menteri, Scott Morrison kepada wartawan di Washington DC hari ini.
Ketika pihak berkuasa menghadapi lebih banyak tunjuk perasaan, Victoria melaporkan 766 kes baharu COVID-19 membabiktan jangkitan tempatan, mendahului paras tertinggi pandemik sebelumnya dengan 725 kes pada 5 Ogos tahun lalu. Sebanyak empat kematian direkodkan, dengan 628 kes dilaporkan pada Rabu lalu.
Australia sedang memerangi gelombang ketiga membabitkan varian Delta di dua bandar terbesarnya, Sydney dan Melbourne dan ibu kota, Canberra memaksa hampir separuh daripada 25 juta penduduk negara itu terbabit dalam sekatan ketat di rumah.
Pihak berkuasa berjanji untuk melonggarkan peraturan sekatan apabila 70 peratus individu dewasa lengkap dos vaksin yang dijangka bulan depan. Kira-kira 55 peratus individu berusia 16 tahun ke atas menerima dos vaksin lengkap di New South Wales dan sekitar 45 peratus di Victoria. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/09/867633/lebih-banyak-tunjuk-perasaan-anti-sekatan-di-melbourne
Comments
Post a Comment