Sarawak mahu suntikan dos penggalak dimulakan

 

KUCHING: Sarawak berharap pemberian suntikan dos penggalak COVID-19 dapat dimulakan dalam masa terdekat dan secepat mungkin dengan keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, suntikan ketiga amat penting bagi mereka yang tidak mempunyai imuniti terutama ketika tubuh mereka tidak mendapat tindak balas imun walaupun menerima dua dos lengkap vaksin.

Katanya, kajian turut menunjukkan keberkesanan vaksin semakin berkurang dalam jangka waktu tertentu.

"Maka, kita berharap kerajaan Pusat memberi kepercayaan kepada Sarawak untuk memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sekali lagi (untuk melaksanakan suntikan dos penggalak)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan pada 9 September lalu berkata, kementerian tidak menolak kesan penurunan vaksin dari masa ke masa mungkin menjadi sebab kes COVID-19 tinggi di Sarawak.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji keperluan melaksanakan suntikan dos penggalak untuk mengatasi keadaan itu.

Kui Hian yang juga penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) berkata, penyebaran kes yang berkaitan dengan varian Delta turut menyumbang peningkatan kes yang tinggi di Sarawak.

- Hiasan. FOTO NSTP

"Fokus pada era pasca vaksinasi tidak harus pada jumlah kes COVID-19 harian, tetapi pada kadar kemasukan ke hospital, pengguaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan penggunaan ventilator serta kes kematian.

"Selain itu, kita memerlukan penjelasan lebih lanjut mengenai kes kematian, sama ada simati disahkan menghidap COVID-19 sebelum atau selepas meninggal dunia," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/865928/sarawak-mahu-suntikan-dos-penggalak-dimulakan

 

 

Comments