SINGAPURA: Semua lawatan ke wad hospital akan digantung selama empat minggu mulai esok, susulan peningkatan kes COVID-19 yang dikesan dalam kalangan kakitangan, pesakit dan pelawat.
Keadaan itu membebankan tenaga kerja dan kapasiti di sebilangan hospital di negara berkenaan.
"Dengan bertambahnya kes COVID-19 dalam komuniti, lebih banyak kes jangkitan dikesan dalam kalangan kakitangan hospital, pesakit dan pelawat.
"Pengesanan kes ini menyebabkan wad ditutup dan kakitangan dikuarantin yang menjejaskan sebilangan hospital, sekali gus membebankan kapasiti katil hospital dan tenaga kerja.
"Langkah dengan lebih ketat ini adalah untuk 'menjamin kapasiti hospital," kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, sesetengah kumpulan pesakit akan dibenarkan menerima pelawat mengikut kes berdasarkan penilaian pihak hospital, termasuk pesakit dalam keadaan tenat, pesakit kanak-kanak, ibu yang melahirkan atau selepas bersalin serta pesakit yang memerlukan bantuan jagaan tambahan daripada penjaga mereka.
Menurut MOH, sehingga lima pelawat dibenarkan bagi setiap pesakit berada dalam keadaan tenat dengan maksimum dua pelawat di sisi pesakit pada bila-bila masa.
Kumpulan pesakit lain hanya dibenarkan seorang pelawat dan menerima satu lawatan sehari. Semua pelawat yang dibenarkan perlu menunjukkan keputusan negatif ujian pantas antigen (ART) atau ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) yang diambil dalam tempoh 24 jam sebelum setiap lawatan.
Ujian yang diwajibkan itu tidak mengambil kira status vaksinasi seseorang individu dan perlu dikendalikan atau diselia oleh penyedia ujian COVID-19 yang diluluskan MOH.
"Pelawat juga tidak dibenarkan menggunakan tandas pesakit di wad dan perlu mengelak duduk di atas katil pesakit," kata kenyataan itu.
MOH berkata, pihaknya sudah menambah kekerapan ujian pemantauan bagi kakitangan hospital serta penyedia khidmat yang bekerjasama dengan pihak hospital untuk mengesan jangkitan COVID-19 dengan lebih awal.
"Individu dengan keadaan bukan kecemasan atau mengalami gejala ringan diminta mengelak daripada mendapatkan rawatan di hospital, sebaliknya berjumpa dengan doktor di klinik atau pusat jagaan dengan segera.
"Bagi mereka yang bimbang mungkin dijangkiti COVID-19 boleh ke
klinik Swab and Send Home (SASH)," tambah MOH. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/09/867602/singapura-gantung-sementara-lawatan-ke-wad-hospital
Comments
Post a Comment