BRUSSELS: Agensi Perubatan Eropah (EMA) meluluskan pemberian suntikan penggalak bagi vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 kepada orang ramai berusia 18 tahun dan ke atas.
Agensi berpangkalan di Amsterdam itu menerusi kenyataan, berkata data untuk vaksin Pfizer-BioNTech menunjukkan peningkatan paras antibodi apabila dos penggalak diberikan kira-kira enam minggu selepas dos kedua kepada individu berusia 18 hingga 55 tahun.
Syarikat farmaseutikal itu turut mengesyorkan supaya suntikan dos ketiga itu diberikan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan selepas dos kedua, bagi golongan berusia 18 tahun dan ke atas.
Sementara itu, EMA turut mengesyorkan supaya dos tambahan vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna diberikan kepada individu yang mempunyai masalah imuniti atau sistem pertahanan badan yang lemah.
Katanya, lampu hijau berhubung pemberian dos penggalak diberikan selepas kajian menunjukkan penerima dos ketiga dalam kalangan pesakit yang menjalani pemindahan organ dan mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, berupaya menghasilkan antibodi terhadap virus COVID-19.
Sehubungan itu, katanya, dos tambahan harus diberikan kepada individu yang mempunyai masalah imuniti dalam tempoh sekurang-kurangnya 28 hari selepas mereka menerima dos kedua.
"Walaupun tiada perkaitan langsung berhubung kemampuan seseorang menghasilkan antibodi dalam kalangan pesakit untuk 'melawan' COVID-19, dos tambahan ini dijangka mampu meningkatkan daya perlindungan dalam segelintir pesakit.
"Risiko radang jantung atau sebarang kesan sampingan lain selepas dos penggalak juga tidak diketahui dan ia sedang dipantau secara berhati-hati," katanya sambil menambah pihaknya akan terus meneliti sebarang data mengenai keberkesanan dos penggalak.
Mengikut EMA, setiap negara anggota akan memuktamadkan keputusan masing-masing berhubung pemberian dos ketiga. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/10/872455/ema-lulus-pemberian-dos-penggalak-untuk-dewasa
Comments
Post a Comment