Hospital Singapura buka khemah sementara pesakit COVID-19

 

SINGAPURA: Khemah sementara mula didirikan di beberapa hospital di republik ini susulan peningkatan kes COVID-19, bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pesakit lain.

Mulai Jumaat lalu, Hospital Khoo Teck Puat (HKTP) mula menerima pesakit COVID-19 di kawasan jagaan pesakit sementara, sama seperti di Hospital Masyarakat Yishun yang terletak bersebelahan.

Antara lain tempat itu digunakan bagi pesakit yang memerlukan jagaan perubatan sementara menunggu untuk dipindahkan ke pusat rawatan atau pusat jagaan masyarakat, kata hospital itu.

Sejak akhir bulan lalu, beberapa hospital di sini menyediakan kawasan sementara seumpamanya untuk menerima bilangan lebih tinggi pesakit COVID-19 yang tiba di jabatan kecemasan.

Pihak berkuasa berkata mereka sedang menyediakan katil di luar hospital bagi pesakit berisiko lebih tinggi yang perlu diawasi, dengan 3,700 katil di sembilan kemudahan rawatan COVID-19 dijangka siap pada akhir bulan ini.

Kementerian Kesihatan (MOH) berkata, sehingga kelmarin, sekitar 15 peratus katil hospital di sini sudah digunakan bagi pesakit coronavirus.

Antara lain, tempat itu digunakan untuk merawat pesakit yang memerlukan jagaan perubatan sementara mereka menanti untuk dipindahkan ke pusat jagaan masyarakat atau kemudahan rawatan.

Jurucakap Kementerian Kesihatan (MOH) memberitahu Berita Harian Singapura bahawa hospital berkenaan membuka khemah sementara atas inisiatif sendiri untuk menangani jumlah kes yang melonjak.

Selain HKTP, Hospital Tan Tock Seng turut mengembangkan jabatan kecemasan mereka untuk menangani lonjakan jumlah pesakit COVID-19.

Hospital lain, seperti Hospital Besar Ng Teng Fong, pula menggunakan khemah yang mereka sediakan tahun lalu untuk pemeriksaan pesakit, ketika kes di asrama pekerja migran meningkat.

Kemasukan ke hospital akibat COVID-19 di Singapura melonjak, dengan 1,355 pesakit dimasukkan ke wad sehingga Isnin lalu.

Kes COVID-19 di Singapura mula melonjak mulai akhir Ogos dan menyebabkan pihak berkuasa mengenakan sekatan ketat selama sebulan hingga 24 Oktober untuk mengekang penularan virus tersebut.

Pemeriksaan ujian calitan COVID-19 juga dilakukan di khemah sementara di perkarangan hospital di Singapura. - Foto AFP

Kes baru COVID-19 di sini melebihi 2,000 kes untuk kali pertama pada 28 September dan kekal meningkat.

Sebanyak 2,475 kes COVID-19 baru dicatatkan pada Isnin, walaupun sekitar 98 peratus daripada kes coronavirus di sini adalah sederhana atau tidak menunjukkan sebarang gejala kerana kadar vaksinasi yang tinggi. - AGENSI

https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/10/872897/hospital-singapura-buka-khemah-sementara-pesakit-covid-19

 

 

Comments