MANAMA: Menteri Luar Israel, Yair Lapid, memulakan lawatan ke Bahrain, semalam, sekali gus merasmikan pembukaan kedutaan rejim itu di negara ini.
Beliau tiba di lapangan terbang di Manama kira-kira sejam sebelum sebuah pesawat Gulf Air A320 berlepas untuk penerbangan komersial yang pertama antara kedua-dua pihak.
Kru mengibarkan bendera Bahrain serta Israel dari tingkap kokpit jet penumpang itu apabila ia kemudian mendarat di Lapangan Terbang Ben Gurion berdekatan Tel Aviv.
Penerbangan itu dan lawatan dua hala menteri Israel yang julung kali ke negara Teluk berkenaan adalah sebahagian daripada perkembangan selepas Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Maghribi serta Sudan bersetuju menjalinkan hubungan dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham pada tahun lalu.
"Kami telah membuka Kedutaan Israel secara rasmi di Bahrain.
"Kami bersetuju Kedutaan Bahrain akan dibuka di Israel menjelang akhir tahun ini," kata Lapid melalui ciapan dalam Twitter.
Dalam lawatannya, Lapid mengadakan pertemuan dengan Raja Hamad Isa Al-Khalifa.
Menurut laporan media Israel, ia adalah perjumpaan awam yang pertama antara monarki negara Teluk dengan pegawai Israel.
Selain itu, Lapid juga mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota, Sheikh Salman Hamad Al-Khalifa, dan Menteri Luar, Abdullatif al-Zayani.
"Kami berbincang mengenai kerjasama antara kedua-dua pihak dan menjadikan perdamaian rasmi itu persahabatan yang aktif, ekonomi, keselamatan, politik serta sivik," ciap Lapid lagi berhubung pertemuannya dengan Abdullatif.
Abdullatif dan Lapid turut mengadakan sidang akhbar di mana mereka menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kerjasama dari segi pemuliharaan alam sekitar hinggalah sukan. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/10/871028/israel-buka-kedutaan-di-bahrain
Comments
Post a Comment