Jumlah kes harian COVID-19 S’pura mungkin jangkaui 5,000 minggu depan

SINGAPURA: Bilangan kes harian COVID-19 di Singapura dijangka akan meningkat kepada lebih 5,000 kes pada minggu depan dengan jumlah kes dalam masyarakat sekarang ini naik seganda setiap 10 hari, kata pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19, Encik Gan Kim Yong pada Sabtu (2 Okt).

Bercakap di sidang media jawatankuasa bertindak itu, Encik Gan berkata: “Jumlah kes semakin meningkat. Berdasarkan kadar jangkitan sekarang ini, kes dalam masyarakat kini bertambah seganda setiap 10 hari.

“Dan bergantung kepada peningkatan kadar jangkitan itu, kita mungkin akan menyaksikan bilangan kes harian meningkat kepada lebih 5,000 pada minggu depan. Sungguhpun demikian, sebahagian besar dijangka tidak akan menunjukkan gejala atau mengalami gejala ringan dan boleh sembuh dengan pantas di rumah.”

Walaupun jumlah kes harian semakin meningkat, kadar peningkatan “nampaknya perlahan sedikit,” menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan medianya.

“Tempoh kes dalam masyarakat naik seganda kini lebih panjang dari sekitar lapan hari kepada kira-kira 10 hari,” tambah MOH.

PERHALUSI PROTOKOL JAGAAN KESIHATAN

“Singapura perlu memperhalusi protokol jagaan kesihatannya, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

“Protokol ujian dan pengasingan QO (perintah kuarantin), HRW (amaran risiko kesihatan), HRA (kewaspadaan risiko kesihatan), RRT (rutin ujian berkala) … diperkenalkan semasa kita sedang cuba membendung penularan setiap kelompok yang dikesan dan dikenal pasti,” terang beliau.

“Kita kini berada di kedudukan yang berbeza, sedang kita menempuh dengan selamat gelombang penularan ini untuk bangkit lebih teguh dan kukuh dan mampu hidup dengan COVID-19.”

Protokol-protokol itu “banyak dan rumit bagi mereka di luar sana”, kata Encik Ong dan bagi mereka, ia “mengelirukan, bahkan mengecewakan”.

“Tidak ramai yang benar-benar memahami atau mengingatinya. Isu ini perlu ditangani kerana sekiranya orang ramai tidak memahaminya, mereka tidak akan dapat memainkan peranan mereka untuk menjalankan tanggungjawab peribadi apatah lagi membantu orang lain,” tambah beliau.

“Ia juga menyumbang kepada kebimbangan secara keseluruhannya bahawa COVID-19 adalah penyakit yang sangat serius sedangkan bagi mereka yang sudah divaksin, ia sudah menjadi penyakit ringan.”

Pasukan bertindak sedang menyemak protokol-protokol “secara menyeluruh” dan akan membentangkannya tidak lama lagi, kata Encik Ong sambil menambah bahawa pihaknya mahu menjadikan protokol-protokol mudah dan senang diingat.

VAKSINASI

Peratusan pesakit yang memerlukan jagaan rapi pula “kekal rendah”, pada sekitar 0.2 peratus, menurut MOH.

Namun, dengan jumlah kes yang lebih tinggi, ia akan membawa kepada “bilangan keseluruhan yang lebih banyak”, tambah kementerian itu. Buat masa ini, 34 katil unit jagaan rapi (ICU) digunakan untuk merawat pesakit tetapi MOH menjangkakan jumlah tersebut akan meningkat.

Terdapat “bukti kukuh” yang menunjukkan vaksinasi berupaya melindungi individu daripada penyakit teruk, menurut MOH.

Bilangan kes lengkap divaksin yang memerlukan jagaan rapi atau meninggal dunia adalah sekitar 14 kali lebih rendah berbanding mereka yang belum divaksin, menurut MOH lagi.

“Kami lebih prihatin terhadap warga emas dan khususnya mereka yang belum divaksin. Penduduk lebih tua juga lebih berisiko sakit teruk dan kebanyakan mereka cenderung mengalami penyakit lain yang boleh menambah risiko itu,” jelas MOH.

Jumlah kes warga emas berusia 60 tahun dan ke atas “kekal stabil” pada sekitar antara 27 peratus dengan 32 peratus sepanjang 28 hari yang lalu, menurut MOH.

“Kami menggesa semua warga emas, terutamanya segelintir lagi yang belum divaksin untuk lebih berwaspada dan mengelakkan tempat yang sesak buat masa ini,” nasihat kementerian itu.

Singapura belum lagi menyaksikan “kesan sepenuhnya” langkah-langkah yang diperketatkan baru-baru ini kerana ia biasanya mengambil masa seminggu atau lebih sebelum kesan daripada sebarang sekatan boleh dilihat, terang MOH.

“Oleh itu, adalah penting untuk terus memanfaatkan dengan bijak sumber jagaan kesihatan dan memperuntukkan katil hospital bagi mereka yang benar-benar memerlukannya. Pada masa yang sama, kita semua boleh membantu dengan mengurangkan kegiatan sosial kita,” kata Encik Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

- CNA/SM/sm
 Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/eksklusif/corona-outbreak/jumlah-kes-harian-covid-19-s-pura-mungkin-jangkaui-5-000-minggu/4661878.html

Comments