Kabul berdepan blackout gara-gara Taliban gagal bayar bil elektrik

 

KABUL: Ibu negara Afghanistan diancam gangguan bekalan elektrik selepas kerajaan Taliban dilaporkan masih belum membayar tunggakan kepada beberapa syarikat asing.

Lapor The Pakistan Daily, bekas ketua eksekutif syarikat tenaga Afghanistan, Daud Noorzai mendedahkan kesan blackout atau terputus bekalan tenaga akan berleluasa terutamanya di Kabul.

Bekas Ketua Eksekutif Da Afghanistan Breshna Sherkat (DABS) itu juga memberi amaran situasi itu boleh mencetuskan bencana kemanusiaan.

Dilaporkan, Daud meletak jawatan kira-kira dua minggu selepas kumpulan Taliban mengambil alih Afghanistan pada pertengahan Ogos lalu.

Blackout akan berlaku dan ia akan menjadikan Afghanistan kembali ke ‘zaman gelap’ dari segi tenaga dan telekomunikasi.

“Ini akan menjadi situasi yang sangat berbahaya,”  katanya kepada Wall Street Journal.

Sejak Afghanistan jatuh ke tangan Taliban pada Ogos lalu, mereka juga mengambil alih DABS termasuk hutangnya.


Kira-kira 70 peratus bekalan elektrik Afghanistan datang dari luar negara.

Negara-negara jiran seperti Uzbekistan, Tajikistan dan Turkmenistan menyumbang separuh daripada penggunaan tenaga elektrik di negara itu. – AGENSI

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/10/kabul-berdepan-blackout-gara-gara-taliban-gagal-bayar-bil-elektrik/

 

Comments