M'sia catat angka rekod kematian bulanan COVID-19 pada Sep

 KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat 9,671 kematian akibat COVID-19 pada September, iaitu yang jumlah tertinggi dalam sebulan sejak pandemik melanda, menurut data kerajaan hari ini (1 Okt).

Bagaimanapun pihak berkuasa menegaskan kenaikan jumlah kematian itu kebanyakannya disebabkan oleh kelengahan dalam mengambil kira kes kematian daripada bulan-bulan sebelumnya.


 Lonjakan itu menaikkan angka kematian di Malaysia menjadi antara yang tertinggi di Asia dari segi per kapita. Ini meskipun jumlah jangkitan baru semakin perlahan sejak beberapa minggu lalu di tengah-tengah program vaksinasi yang diperhebat.

Angka pada September membentuk lebih sepertiga daripada 26,335 kematian COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia, yang mencatat lebih 2.2 juta jangkitan kesemuanya, jumlah ketiga tertinggi di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, para pegawai kementerian kesihatan berkata laporan mengenai kematian tertangguh - kadang kala hingga beberapa bulan - kerana kes yang semakin meningkat membanjiri hospital dan makmal ujian.

Kementerian itu pada September mulai mengeluarkan data harian mengikut waktu kematian, serta tanggal ia dilaporkan, dalam usaha untuk meningkatkan ketelusan dan menangani tunggakan.

Walaupun Malaysia melaporkan purata kematian harian COVID-19 sebanyak 322 pada September, kematian harian sebenar jatuh ke 89 pada Khamis (30 Sep) berdasarkan purata tujuh hari, menurut data.

Pihak berkuasa berikrar untuk mengurangkan kelewatan dengan mengenakan had masa ke atas hospital untuk mengesahkan punca kematian.

Kematian yang tidak dilaporkan sebelum ini mendedahkan jurang sistemik, walaupun Malaysia mempunyai salah satu program vaksin yang paling pantas bergerak di Asia Tenggara, kata pakar penyakit berjangkit Universiti Malaya, Adeeba Kamarulzaman kepada Reuters.

Ini termasuk kadar vaksinasi yang tidak rata di negeri-negeri lain, pemantauan yang tidak mencukupi terhadap pesakit COVID-19 yang dikuarantin di rumah dan juga akses terhad kepada jagaan kesihatan dalam kalangan pendatang hijrahan tanpa dokumen, katanya.

"Sebilangan besar penduduk hijrahan tidak mempunyai maklumat mengenai penyakit itu atau takut untuk tampil dapatkan rawatan, bimbang mereka akan ditangkap," kata Dr Adeeba.

Sekitar 62 peratus daripada 32 juta penduduk Malaysia kini sudah lengkap divaksin, termasuk 86 peratus penduduk dewasa. Negara itu kini mula menyuntik remaja berusia antara 12 dengan 17 tahun, bulan lalu.

- Reuters/TQ/tq
M'sia catat angka rekod kematian bulanan COVID-19 pada Sep
 Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/dunia/m-sia-catat-angka-rekod-kematian-bulanan-covid-19-pada-sep/4661508.html

Comments